Tuesday, 6 November 2012

mencari diriku yang hilang


Selagi bergelar manusia, kita tidak pernah lari dari merasa pelbagai perasaan. Adakalanya kita berasa gembira dan teruja. Adakalanya kita sedih dan sengsara. Apa yang pasti, kita semua sentiasa mengharapkan rasa gembira dan ceria menguasai diri. Hati yang gembira ditambah pula dengan semangat yang tinggi, kita akan merasakan bahawa tidak ada satu perkara pun yang mustahil. Namun begitu, hakikatnya perasaan itu bukanlah hadir sepanjang masa. Hal ini kerana lebih banyak ketikanya diri kita hanya dibelenggu oleh rasa tidak selesa, marah, sedih, geram, resah, gelisah dan sebagainya.
Pernahkah kita berasa begitu sedih sehingga tidak mampu melakukan apa-apa? Pernahkan kita berasa begitu sedih, lemah semangat dan hilang keyakinan diri sehingga kita rasa seperti terperangkap dan tidak boleh melarikan diri lagi? Pernahkah kita berasa begitu murung sehingga perkara yang selalunya menggembirakan kita pun kita tetap gagal melaksanakannya??
Apakah yang dilakukan oleh individu-individu ini apabila mengalami situasi sedemikian? Apa yang dilakukan oleh mereka untuk mengeluarkan diri belenggu perasaan berikut? Jika anda sedang berduka, apa yang anda lakukan untuk menceriakan kembali diri anda? Jika semangat anda telah hilang, apa yang anda akan lakukan untuk meningkatkan kembali semangat dan keyakinan diri tersebut?
Apa yang patut kita fikirkan bersama ialag di saat kita sedang merasa perasaan negatif itu, apakah yang boleh kita lakukan agar diri kita pulih seperti biasa. Malah, apa yang boleh kita lakukan agar bukan sahaja kita pulih, malah bangkit lebih hebat daripada biasa.
Sedarkah kita, semasa kita sedang berduka, semuanya terasa seperti serba tidak kena? Bagi pelajar, ada kalanya kita sedang berduka kerana gagal mendapat keputusan A bagi subjek yang paling kita suka dan mahir. Tetapi apabila mendapat keputusan yang tidak menggembirakan, kita akan terasa seolah-olah semua benda di dunia sedang memusuhi kita. Pastinya ketika itu, gurauan dan jenaka rakan-rakan terdengar seperti sindiran yang melukakan. Teguran dan nasihat yang diberikan seolah-olah menaburkan garam di atas luka yang dalam.
Jika kita sebagai pekerja, mungkin sedang berduka akibat dimarahi oleh ketua atau majikan. Ketika itu, satu demi satu perkara yang menyakitkan hati hadir bersilih ganti. Melihat rakan sekerja berbisik, kita pasti terasa bahan umpatan itu adalah kita sendiri. Mendengar rakan ketawa, terasa diri inilah yang menjadi bahan jenaka. Hendak menulis pun pen kering dakwatnya. Ketika itu terasa seluruh dunia sedang berkomplot untuk menjatuhkan kita.
Jika kita sedang terperangkap dengan scenario ini, mampukah kita keluar dari belenggu itu? Anda sendiri mungkin pernah merasi pengalaman duka, bagaimanakah anda mengubah rasa duka dan keluar daripada emosi yang boleh membinasakan dan memusnahkan diri?
Bercerita mengenai teori menghilangkan rasa duka sememangnya amat mudah. Namun realitinya, jika kita sendiri berada dalam situasi tersebut bagaimana kita mengatasinya? Apa yang perlu kita sedari ialah teknik dan cara mengawal diri dan emosi semasa sedang berduka, kecewa dan hampa amat penting. Apa yang penting, bagi menghilangkan kedukaan, anda boleh bercerita dengan individu lain yang dipercayai dan mencari kembali semangat yang kian pudar.
Tiada yang lebih penting dalam kehidupan ini melainkan dapat mencapai kegembiraan dan kebahagiaan dalam hidup. Oleh hal yang demikian, berusahalah mencari kebahagiaan yang diidam-idamkan, usah biarkan diri diselebungi dengan perasaan tidak selesa.


 

No comments:

Post a Comment